Hutan kerangas mempunyai banyak nama. Ia dikenali di seluruh dunia sebagai hutan rawa (heath forest). Ia juga dirujuk sebagai Sundaland heath forest. Hutan rawa tropika hidup di atas tanah yang bersifat asidik dan berpasir, menjadikan ia kurang subur dan kekurangan nutrient. Di Malaysia, hutan kerangas sebenarnya lebih banyak tertumpu di negeri Sabah dan Sarawak. Hutan ini dipanggil sebagai `kerangas`, suatu perkataan yang diambil dari bahasa Iban yang bermaksud `tanah hutan, yang bila dibersihkan, tidak membuatkan padi tumbuh’. Air hujan tidak dapat bertakung dengan baik di atas tanah hutan jenis ini kerana ia akan terserap masuk ke dalam tanah dengan cepat. Hutan kerangas tidak dihadkan oleh ketinggian dan altitud, dan di Borneo, ia boleh ditemui tumbuh di kawasan berpasir di sepanjang kawasan pantai, terutamannya di bahagian barat Borneo, juga di kawasan pergunungan yang mempunyai ciri tanah yang sama.
Antara lokasi di mana hutan-hutan kerangas boleh ditemui di Malaysia ialah di:-
1. Taman Negara Mulu, Sarawak.
2. Taman Negara Bako, Sarawak.
3. Hutan Simpan Milian-Labau, Sabah.
4. Lembangan Hutan Maliau-Basin, Sabah.
5. Hutan Simpan Madai Baturong, Sabah.
6. Kawasan sekitar Sook, Keningau, Sabah.
7. Kawasan sekitar Nabawan, Sabah.
Dengan kedapatan nutrient yang rendah, adalah penting untuk spesis tumbuh-tumbuhan untuk menjaga dan melindungi dengan baik sumber nutrient yang ada; dengan kebanyakan spesis tumbuhan tersebut mengandungi kepekatan tannin dan racun-racun lain yang tinggi pada daunnya untuk mengelakkan ianya dimakan oleh peragut-peragut herbivor. Di kawasan hutan rawa pergunungan, tanahnya biasanya terdiri daripada selapisan humus atau gambut yang berada di permukaannya. Humus-humus ini terbentuk kerana penguraian perlahan bahan-bahan organik daun-daun pokok mati yang kaya dengan tannin. Penguraian yang begitu perlahan ini adalah disebabkan oleh suhu persekitaran yang rendah di kawasan beraltitud tinggi dan juga disebabkan oleh terdapat sedikitnya haiwan-haiwan invertebrate, seperti termit. Ini secara efektifnya menyebabkan kandungan nutrient yang dikeluarkan oleh tanah amatlah sedikit, dan akhirnya menyumbang kepada evolusi tumbuh-tumbuhan yang hidup di permukaannya untuk menggunakan teknik penyerapan nutrient yang amat efektif.
2.0 BIODIVERSITI HUTAN KERANGAS
2.1 Kepelbagaian spesis tumbuhan
Hutan rawa, atau lebih dikenali sebagai kerangas di Malaysia sebenarnya sesuai untuk pertumbuhan beberapa tumbuh-tumbuhan tertentu seperti pokok periuk kera Nepenthes yang bersifat karnivor, Drosera, dan Utricularia. Seperti mana jenis-jenis hutan pamah yang terdapat di Borneo dan Sumatra yang lain, hutan kerangas tidak dapat mengelak daripada menerima tempias aktiviti manusia seperti pembalakan dan pertanian. Tanah dari hutan dieksploitasikan sepenuhnya walaupun ianya ternyata kurang subur. Tanah yang terdapat pada hutan rawa adalah amat cepat untuk susut apabila tumbuhan tutup buminya dibersihkan, membuatkan hutan ini begitu `lemah` (Westoby, 1987). Keadaan water stress yang sering berlaku dan masalah kekurangan nutrient telah menjadi elemen utama yang akhirnya membentuk hutan ini, yang mana kurang subur untuk aktiviti pertanian. Hutan rawa begitu berbeza dari segi struktur, tekstur, dan warna jika dibandingkan dengan hutan-hutan dipterokarp pamah yang lain.
Seperti yang sudah diterangkan dalam bab sebelum ini, hutan rawa mempunyai satu kanopi hutan yang rendah dan bersifat seragam. Saiz daun adalah kecil, dan pokok-pokok biasanya padat dan sukar untuk ditembusi. Pokok mampu mencapai ketinggian sehingga 20m tinggi. Pokok bersaiz besar begitu jarang dijumpai, sangganya pula begitu kecil, namun epifit mudah dijumpai di sini (Westoby, 1987). Epifit merujuk kepada spesis tumbuhan yang hidup menumpang pada permukaan spesis tumbuhan yang lain. Ia bukanlah bersifat parasitisma, dan oleh itu ia tidak memudaratkan spesis perumahnya. Tumbuhan epifit boleh dijumpai dengan banyak di hutan-hutan kerangas dan mendapatkan makanannya daripada udara dan sisa-sisa organic yang terdapat di sekeliling akarnya.
Namun secara umumnya, spesis pokok dipterokarps merupakan pokok utama di hutan ini, manakala pokok palma pula amat senang untuk ditemui. Terdapat lebih kurang 75 spesis pokok dipterokarp boleh ditemui di hutan kerangas. Spesis-spesis ini mempunyai nilai komersil yang tinggi untuk sektor pembalakan dan kayu-kayan tersebut berpotensi digunakan untuk tujuan pembinaan serta perabot. Antara spesis bernilai adalah Tristania spp., Dryobalanops beccarii, Shorea pachyphylla dan Calophyllum spp. Namun di bawah keadaan yang teruk, keadaan menjadi sebaliknya- tiada satu pun spesis dipterokarps mungkin wujud, dan pokok-pokok palma sukar dijumpai, di mana spesis Myrtaceae Australia dan Casuarinacea mengambil tempat, dan tumbuh-tumbuhan konifer seperti Agathis, Podocarpus, dan Dacrydium pula tumbuh dengan banyaknya (IUCN, 1995).
Di hutan-hutan kerangas Sarawak, pokok-pokok dominan adalah daripada famili Dipterocarpaceae (Shorea dan Hopea spp.), famili Myrtaceae, Gonystlus spp., Agathis spp., Dacrydium elatum, Styphelia spp., dan Bachea spp. (Ngau et al. 1987). Dianggarkan bahawa hutan-hutan kerangas ataupun rawa di Sarawak mengandungi hampir 849 spesis pokok, dan di hutan kerangas yang terdapat di Nabawan, Sabah pula mengandungi spesis tumbuhan yang endemik di mana ia tidak terdapat di hutan-hutan lain (IUCN, 1995). Secara umumnya hutan rawa mempunyai kekayaan spesis yang kurang dan sedikit jika dibandingkan dengan hutan-hutan dipterokarp. Dan seperti yang sudah diterangkan di dalam bab sebelum ini, hutan ini berkongsi banyak persamaan dengan hutan-hutan zon pergunungan kerana disumbangkan oleh jenis tanahnya yang sama, seperti taburan semak yang tebal, spesis tumbuhan bryofit yang banyak, dan kehadiran spesis Casuarina nobilis (sejenis tumbuhan pengikat nitrogen) (Richards, 1936), termasuklah juga beberapa spesis lain seperti Shorea albida, S. pachyphylla, dan S. scabrida.
Hutan kerangas yang terdapat di Hutan Simpan Milian-Labau, Nabawan, Sabah pula mengandungi dua jenis hutan kerangas yang berbeza, dan ia dikategorikan berdasarkan kepada taburan spesis tumbuhannya. Jenis-jenis tersebut adalah:-
· Hutan kerangas jenis Dacrydium pectinatum-Tristianopsis spp.
· Hutan kerangas jenis Shorea venulosa-Hopea pentanervia
a)
Walaupun kedua-dua hutan jenis kerangas di atas mungkin kurang subur, kandungan nutrient tanahnya yang sedikit serta tidak mempunyai biodiversiti spesis yang tinggi jika dibandingkan dengan hutan dipterokarp campur yang lain, namun hutan kerangas sebenarnya mampu menampung hidup kepada kehidupan spesis-spesis orkid yang cantik dan berwarna-warni. Terdapat lebih daripada 150 spesis orkid telah direkodkan di hutan ini, dan beberapa spesis orkid tersebut masih belum dapat dinamakan, dan sesetengah yang lain pula begitu endemik dan cuma boleh dijumpai di hutan kerangas Milian-Labau sahaja. Beberapa spesis baru orkid telah ditemui dan direkodkan dengan baik di hutan simpan ini, antaranya seperti Bulbophyllum nabawanense dan Dendrobium nabawanense. Selain daripada itu, beberapa spesis endermik Borneo yang jarang-jarang ditemui juga terdapat di sini, termasuklah Eria ignea, Bulbophyllum beccarii, Calantha undulata dan Dendrobium trullatum. Sebenarnya terdapat beberapa lagi spesis yang terdapat di sana namun tidak mencukupi untuk diterangkan di tugasan ini.
Umumnya, tumbuh-tumbuhan renek yang terdapat pada hutan kerangas ini adalah tertabur secara jarang, dan terdiri daripada lumut dan liverwort, dan beberapa tumbuhan pemakan serangga yang lain. Kehadiran tumbuhan tersebut mungkin adalah berpunca daripada tindakbalas evolusi tumbuhan yang hidup di hutan yang kekurangan nitrogen tersebut. Pokok Drosera spp. misalnya, mempunyai daun-daun yang diliputi dengan sejenis bulu berwarna kemerah-merahan untuk memerangkap serangga.
Pokok bladderwort Utricularia pula mempunyai seperti satu lubang beg di penghujung batangnya, dengan lubang masuknya dikelilingi oleh rerambut. Jika serangga menyentuh rerambut ini, satu semburan air akan dikeluarkan dari lubang tersebut, dan menarik serangga tersebut masuk ke dalamnya untuk dicerna (Lennertz & Panzer, 1983). Terdapat enam spesis tumbuhan kendi (pitcher plants) yang terdapat di hutan kerangas, antaranya ialah Nepenthes bicalcarata yang hanya dijumpai di hutan-hutan kerangas dan paya gambut sahaja (Watson, 1996). Dalam kes yang lain, satu hubungan simbiotik telah wujud antara tumbuh-tumbuhan dan serangga. Ini yang berlaku kepada spesis Myrmecodia dan Hydnophytum. Myrmecodia akan membiarkan semut-semut untuk menjalar dan bersarang di sepanjang batangnya yang tebal, dan akhirnya semut tersebut membekalkan pokok itu dengan pelbagai jenis nutrient daripada mayat-mayat semut dan makanan-makanan lain yang terdapat di sarang semut tersebut (Ghee & Valencia, 1990).
2.2 Kepelbagaian spesis haiwan
Haiwan-haiwan yang terdapat di hutan-hutan rawa ini biasanya akan berdepan dengan pelbagai jenis cabaran seperti yang telah dialami oleh haiwan yang tinggal di hutan jenis paya gambut. Tanah yang kurang subur menyebabkan rendahnya produktiviti, dan tumbuh-tumbuhan akan mempertahankan diri sendiri daripada pemangsa dengan menggunakan mekanisma yang bersifat racun, toksik, atau melepaskan bahan-bahan yang kurang menyenangkan .Oleh sebab keadaan sedemikian, hutan-hutan kerangas ini mengandungi kepelbagaian haiwan yang agak rendah dan kurang dari segi diversity dan taburannya.
Orangutan (Pongo pygmaeus) mungkin sering dijumpai di hutan-hutan jenis ini, tapi tidaklah sekerap ia dijumpai di hutan-hutan jenis lain. Hutan rawa juga tidak mempunyai habitat penyu atau kura-kura dan kurang daripada setengah spesis-spesis katak, biawak, dan ular yang boleh ditemui di sini .Kekurangan spesis-spesis haiwan vertebrata kecil di sepanjang hutan-hutan rawa telah menjadi penyebab yang menyumbang kepada sedikitnya taburan spesis ular, iaitu hanya sekitar satu pertiga daripada keseluruhan spesis ular yang sering dijumpai di hutan dipterokarp lain. Dengan kurangnya haiwan mangsa, maka haiwan pemangsa seperti ular cuma sedikit, dan kesannya mempengaruhi hampir keseluruhan rantai makanan yang terdapat di ekologi hutan kerangas. Namun hutan ini sebenarnya merupakan habitat haiwan-haiwan mammalian dan burung yang tertentu (endemik di hutan kerangas). Lihat jadual 1 dan 2.
| Famili | pesis |
| · Cercopithecidae | · Presbytis hosei |
Jadual 1: Endemic and Near-Endemic Mammal Species.
| Famili | Spesis | Nama tempatan |
| · Zosteropidae | · Oculocincta squamiforns | · Pygmy white-eye |
Jadual 2: Endemic and Near-Endemic Bird Species.
3.0 ANCAMAN KEPADA HUTAN KERANGAS
Hutan kerangas, seperti juga yang telah berlaku kepada hutan-hutan lain di Malaysia, berdepan dengan ancaman terbesarnya-aktiviti manusia. Dengan peningkatan penduduk dunia, Malaysia khususnya, usaha pembukaan hutan terpaksa dilakukan untuk membolehkan penempatan-penempatan manusia dapat dibuat. Kebanyakan hutan-hutan kerangas yang terletak di Nabawan contohnya, adalah terletak di atas tanah milik kerajaan dan separuh daripada keluasan hutan tersebut telahpun dicadangkan untuk dibangunkan atas dasar pembangunan. Ini menjejaskan usaha pengurusan dan pemuliharaan hutan-hutan kerangas di negeri tersebut dan menjejaskan pelbagai flora dan fauna hidupan yang terdapat di dalamnya.
Dan tambah memburukkan keadaaan, walaupun hutan kerangas tidak sesuai untuk aktiviti pertanuan, namun pada tahun 1998 kawasan kerangas di bahagian selatan (Blok III) hutan Nabawan telahpun diwartawakan sebagai tanah FELCRA (Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority). Organisasi kerajaan tersebut telah memasukkan kawasan ini dalam skim rancangan penanaman kepala sawit mereka iaitu seluas 20,000 ekar di daerah Nabawan. Manakala satu sektor hutan di bahagian barat hutan kerangas tersebut telah dibeli oleh sebuah syarikat swasta untuk kegunaan komersil mereka, dan ia diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kebanyakan penduduk luar bandar masih menggunakan kayu api sebagai bahan api untuk kegiatan memasak harian mereka. Usaha pencarian kepada kayu api di hutan-hutan kerangas, terutamanya di sekitar Sook dan Nabawan, Sabah semakin meningkat kerana disebabkan oleh peningkatan bilangan penduduk yang mula menetap di pinggir-pinggir hutan tersebut. Ini disumbangkan oleh terdapatnya faktor jalanraya yang membolehkan mereka berhijrah masuk ke kawasan pinggir hutan kerangas-jalan-jalan tersebut adalah tinggalan aktiviti pembalakan suatu masa dahulu. Mereka yang berhijrah masuk ke penempatan-penempatan baru ini adalah yang berasal daripada daerah-daerah yang lebih miskin di selatan, iaitu kampung-kampung di sekitar Pensiangan dan Sapulut, dalam usaha mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. Penghijrahan ini juga digalakkan oleh pihak kerajaan negeri.
Selain daripada faktor-faktor pembangunan dan aktiviti manusia, hutan-hutan kerangas juga terdedah kepada ancaman pembakaran. Api daripada pembakaran merupakan ancaman utama kepada aktiviti pemuliharaaan semula kerangas. Pembakaran hutan kerangas mungkin berpunca daripada aktiviti pembukaan dan pembersihan hutan oleh manusia di kawasan-kawasan pinggiran hutan kerangas. Keadaan tanah kerangas yang agak kering dan tandus itu mempercepatkan lagi perebakan api, dan semasa musim-musim kemarau yang panjang, daun-daun mati yang terdapat di lantai hutan juga berpotensi memulakan suatu kebakaran kecil-lalu merebak menjadi liar dan seterusnya menyumbang kepada pembakaran semulajadi hutan-hutan kerangas.
RUJUKAN
Bass, S. 1998. FSC and ISO approaches to Forest Certification: A comparison and Suggested Ways Forward, DG8 Forest Certification Advisory Group. Briefing Note 2.
Ghee & Valencia, 1990. Natural Resources of SE Asia; Conflict over natural resources in Southeast Asia and the Pacific, ms. 16
International Union for Conservation of Nature and Natural Resources (IUCN). 1995. op.cit.,
ms. 21:November.
Jabatan Perhutanan Sabah.
Jabatan Perhutanan Sarawak.
Lennertz & Panzer, 1983. German Agency for Technical Co-operation dipetik dari Hurst, 1990, op.cit.
Ngau et al. 1987. Malaysian Timber; exploitation for Who? In Ecologist.Vol:17, ms. 175-179.
Richards, P.W. 1936. Rain Forest (1st. Ed.) London: Cambridge University Press.
Richards, P.W. 1957. The Tropical Rain Forest (1st. Ed.) London: Cambridge University Press.
Westoby, J. 1987. The Purpose of Forest. ms. 264-5.
Watson F. 1996.A view from the forest floor : the impact of logging on indigenous peoples in Brazil..In Botanical Journal of the Linnean Society (1997). 122: 75-82.
No comments:
Post a Comment